Jangan biar berpanjangan
Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my
TARIAN pendet yang menjadi kontroversi terbaru di antara
Malaysia dan Indonesia.
MENELITI ketegangan hubungan Malaysia dan Indonesia yang berpunca daripada pelbagai insiden sejak kebelakangan ini, seolah-olah memberi isyarat bahawa sengketa itu sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan sendiri.
Mana tidaknya, apabila menteri-menteri dan barisan kenamaan Indonesia menyatakan maaf secara terbuka dan memberi jaminan keselamatan kepada warga Malaysia di negara itu, pihak media di negara yang memiliki kira-kira 17,000 pulau itu terus 'berlagak pandai' dengan membuat tuduhan melulu tanpa pernah berasa jemu menyiarkan berita yang boleh memanaskan keadaan.
Kemarahan Indonesia terhadap Malaysia bukanlah perkara baru. Malah, insiden-insiden seperti tunjuk perasaan dan membakar Jalur Gemilang sudahpun berlaku sejak puluhan tahun lalu. Paling terpahat dalam jiwa penduduk Malaysia adalah kempen Ganyang Malaysia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno pada tahun 1963.
DUA anak muda Indonesia memegang bendera Malaysia yang ditulis dengan
perkataan Ganyang di Jakarta pada 30 Ogos 2009.
Menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman, sebelum era kemerdekaan di kedua-dua negara terbabit, Malaysia dan Indonesia mempunyai ikatan yang akrab dalam aspek budaya, agama dan bahasa.
"Pada tahun sebelum kemerdekaan, perjuangan untuk bebas daripada penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia merupakan perjuangan serumpun yang tidak hanya fokus pada kepentingan satu pihak.
"Indonesia mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1947 menerusi revolusi berdarah, manakala Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957 melalui perundingan damai tanpa pertumpahan darah.
"Indonesia seperti memandang rendah terhadap cara kita mencapai kemerdekaan," katanya kepada Kosmo! pada majlis pelancaran buku Setengah Abad Hubungan Malaysia-Indonesia di UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohammad Redzuan adalah orang yang bertanggungjawab merealisasikan persidangan Perhubungan Malaysia Indonesia 2007-2008 sehingga berjaya menerbitkan buku tersebut.
Kempen Ganyang Malaysia telah dicetuskan pada tahun 1963 oleh Presiden Sukarno kerana mendakwa Malaysia adalah 'neo kolonialisme' atau penjajahan baru imperialis British.
Perbalahan antara dua negara itu umpama air di lautan. Ada waktu, pasang dan ada waktu, surut.
Pernah satu ketika, kemarahan rakyat Indonesia menggelodak akibat tindakan syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas menyerahkan konsesi untuk mencari gali minyak di medan Ambalat dan Ambalat Timur di luar Laut Sulawesi kepada syarikat Shell milik Anglo-Belanda.
Bukan itu sahaja, perebutan wilayah Sipadan dan Ligitan yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan pada 2003 bahawa dua pulau itu milik Malaysia turut meninggalkan kesan hitam dan duka dalam kalangan rakyatnya.
Agak menghairankan mengapa kebencian terhadap Malaysia begitu meluap-luap, sedangkan Malaysia menjadi lubuk rezeki kepada hampir dua juta warga mereka yang bekerja di sini.
Apa yang pasti, peranan media Indonesia menjadi antara punca yang menambahkan kekeruhan hubungan apabila mereka memainkan semula isu-isu berbangkit dengan meluas.
Mengulas isu itu, Ketua Program Lepasan Ijazah Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Politik dan Sosial, Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta, Indonesia, Prof. Dr. Mohtar Mas'oed, berkata, media Indonesia telah mengalami kebebasan luar biasa sejak tahun 1998.
"Media-media Indonesia dipengaruhi oleh kepentingan politik dan memaparkan apa yang rakyat ingin baca. Apabila satu media mencetuskan sesuatu isu, media lain akan turut membawa isu tersebut dengan mencari sesuatu yang berbeza untuk melariskan akhbar.
"Persaingan menjadikan isu tersebut lebih besar dan mempengaruhi penduduk," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada majlis yang sama di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, penduduk Indonesia perlu dididik mengenai Malaysia kerana mereka tidak berapa mengenalinya.
"Sebenarnya, penduduk Indonesia telah dipupuk dengan perasaan benci sejak tahun 1960-an lagi.
"Masalah semakin buruk apabila lebih banyak rakyat terutama kelas pertengahan mempunyai akses kepada televisyen dan akhbar," jelasnya.
Namun, katanya, kerajaan Indonesia berusaha untuk meredakan kemarahan yang tercetus dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sendiri telah mengingatkan penduduknya bahawa tindakan kekerasan sweeping Malaysia tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan menimbulkan masalah yang baru.
ANAK-ANAK muda Indonesia yang dilatih untuk menjadi sukarelawan bagi
menyerang warga Malaysia di Indonesia menjalani latihan seni mempertahankan diri.
Beliau mengakui turut menerima SMS (sistem pesanan ringkas) daripada rakyat Indonesia yang berada di Malaysia.
"Mereka telah menyatakan kebimbangan dan meminta kerajaan Indonesia menyelesaikan masalah yang timbul ini dengan segera.
"Terdapat 1.8 juta rakyat Indonesia sedang mencari rezeki dan belajar di Malaysia. Mereka kini berada dalam kebimbangan berikutan reaksi berlebihan segelintir warga Indonesia yang menimbulkan sengketa dengan Malaysia.
"Tindakan sweeping ke atas rakyat Malaysia adalah tindakan kekerasan dan bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi ketika umat Islam, baik rakyat Malaysia mahupun rakyat Indonesia sedang menunaikan ibadah puasa," katanya mengulas tindakan segelintir rakyat Indonesia yang menamakan kumpulan mereka, Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera). Mereka membawa buluh runcing dan memeriksa tanda pengenalan orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro di Jakarta. Dilaporkan mereka akan merejam warga Malaysia dengan buluh runcing tersebut sebagai tanda protes terhadap ketidakpuasan mereka terhadap Malaysia yang dituduh 'mencuri' tarian pendet yang berasal dari Bali untuk disiarkan di dalam sebuah rancangan promosi Malaysia di saluran Discovery Channel baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, rakyat Indonesia juga mendakwa bahawa Malaysia mencuri seni budaya mereka melalui lagu Negaraku yang didakwa diambil daripada lagu Terang Bulan.
Walhal, lagu itu bukan milik kedua-dua negara kerana ia dicipta dan milik ahli muzik Perancis, Pierrr Jean de Beranger (1780-1857). Soalnya, kenapa perlu membantah jika perkara itu bukan seperti yang didakwa.
Selain itu, kes penderaan pembantu rumah seperti yang berlaku kepada Nirmala Bonat dan terbaru, kes Siti Hajar juga mencetuskan amarah penduduk Indonesia sehingga mendorong Menteri Tenaga Manusia Indonesia, Erman Suparno mengeluarkan arahan supaya menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.
Tindakan tersebut mungkin memberi kesan kepada Malaysia tetapi selebihnya adalah kepada negara mereka sendiri. Ia umpama menyekat pengaliran masuk mata wang asing ke bumi Indonesia.
Hakikatnya, kedua-dua negara saling bergantung di antara satu sama lain. Ini kerana kira-kira 93 peratus daripada pembantu rumah di Malaysia adalah dari Indonesia dan selebihnya dari Filipina dan Sri Lanka.
"Kita tidak pernah membesar-besarkan masalah termasuk kejadian jenayah yang dilakukan oleh warga Indonesia di bumi Malaysia.
"Menurut statistik Jabatan Imigresen, seramai 1,200 pembantu rumah dilaporkan lari dari rumah majikan pada setiap tahun.
"Adakah mereka tahu berapa banyak jenayah seperti rompak bersenjata, pergaduhan dan berapa ramai majikan yang teraniaya akibat perbuatan amah yang lari, berbanding dengan bilangan kes penderaan yang terlalu sedikit," ujar Mohammad Redzuan kesal.
Kita sedia tahu bahawa media Indonesia sejak dahulu lagi gemar menghentam Malaysia. Pantang timbul isu yang oleh 'dimainkan,' pasti media di negara itu akan membesar-besarkan isu tersebut sehingga tahap melampau.
Sebaliknya, media Malaysia lebih profesional dalam menyiarkan berita yang boleh menggugat hubungan politik dan budaya di antara kedua-dua negara.
PARA pelajar Malaysia menyertai pasukan sukarelawan Bulan Sabit Merah
Indonesia mengagihkan selimut kepada mangsa gempa bumi di Panglengan, Jawa Barat.
Sungguhpun, laporan media Malaysia lebih berhemah, namun pernah satu ketika, Kedutaan Indonesia meminta semua media di negara ini menyediakan buku skrap yang menyenaraikan semua laporan yang tidak disenangi Indonesia. Buku itu perlu menjelaskan setiap laporan yang telah disiarkan. Mungkin sekarang, sudah tiba waktunya kita melakukan perkara yang sama.
Selain itu, Indonesia seperti sengaja mencari pasal apabila bertegas mahu mempatenkan batik, rendang dan keris sebagai hak milik mereka dan sesiapa yang ingin menggunakannya perlu meminta kebenaran. Satu daripada perkara itu telahpun berhasil apabila Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini mengiktiraf bahawa batik merupakan produk yang berasal dari Indonesia.
Walaupun rakyat negara ini terpaksa menelan segala penghinaan yang begitu teruk, kerajaan Malaysia masih tenang dalam menangani masalah yang tercetus dan lebih gemar menyelesaikannya secara diplomatik.
Lebih daripada itu, Malaysia tidak menyimpan dendam dan buktinya, negara kita tetap menghulurkan bantuan kepada Indonesia setiap kali bencana menimpa negara itu. Misalnya, baru-baru ini, para pelajar Malaysia di Indonesia telah menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Jawa Barat.
Namun adakah sikap tenang atau lebih dilihat sebagai tidak ambil peduli itu membuatkan rakyat Indonesia semakin memijak kepala kita dan seperti mengiakan bahawa kita bersalah dalam segala hal. Mungkin ada masa, kita perlu beralah tetapi ada waktunya, kita tidak boleh lagi berdiam diri. Apa yang penting, jangan biarkan maruah kita tercabar gara-gara sikap tidak matang segelintir pihak di Indonesia.